KUALA LUMPUR 4 Dis. - Propaganda pembangkang melalui pertubuhan tidak berdaftar, Suaram berhubung wujudnya perbicaraan di Mahkamah Perancis melibatkan isu kapal selam Scorpene jelas merupakan satu dakwaan palsu dan pembohongan semata-mata.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, perkara itu dibuktikan sendiri oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dalam sidang Dewan Rakyat pada 21 November lalu apabila beliau mengakui tidak ada perbicaraan di mahkamah tersebut.
"Kajian JMM menerusi penyata rasmi Parlimen yang telah dikeluarkan jelas tertulis bahawa Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengakui dengan berkata 'saya tidak pernah kata Perancis ada perbicaraan'.
"Ini bermakna terbukti perbicaraan tersebut yang selama ini didakwa Suaram adalah satu pembohongan besar dan berniat jahat untuk memfitnah kerajaan Malaysia," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menerusi penyata rasmi Parlimen Bil 65 yang didedahkan JMM itu, Tian Chua menyebut 'saya tidak pernah kata Perancis ada perbicaraan'.
Isu perbicaraan itu menjadi perdebatan hangat di Dewan Rakyat pada tarikh tersebut apabila beberapa ahli Parlimen telah mendesak beliau untuk bercakap benar agar tidak mengelirukan rakyat.
Menurut Azwanddin, pengakuan Tian Chua itu sekali gus mengesahkan 'perjuangan' Suaram yang berlagak sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memburukkan kerajaan menerusi isu tersebut adalah jelas satu fitnah dan berbohong kepada rakyat.
"Pendirian Tian Chua yang merupakan salah seorang pengasas Suaram itu telah berpusing 180 darjah dengan pengakuan tersebut.
"Walau bagaimanapun kita tidak hairan kerana inilah amalan biasa pihak pembangkang apabila tersepit mereka akan pusing kenyataan," katanya.
Sehubungan itu, Azwanddin mendesak diwujudkan satu akta untuk melucutkan jawatan ahli Parlimen jika terbukti mereka terlibat secara langsung dengan campur tangan pihak asing.
No comments:
Post a Comment