Sunday 28 April 2013

JMM dedah pertemuan tertutup

KUALA LUMPUR 27 April - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendedahkan mengenai satu pertemuan tertutup melibatkan pemimpin pakatan pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk wakil Majlis Peguam menuntut kerajaan Malaysia membenarkan perkahwinan sejenis.

Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi, pertemuan itu turut disertai pertubuhan Lesbian, Gay, Biseksual, Trans dan Interseks Antarabangsa (Ilga) serta pihak Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Perjumpaan itu berlaku di sebuah hotel di Pulau Pinang lebih dua minggu lalu dan misi mereka adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara mengiktiraf perkahwinan sejenis.

''Keadaan akan menjadi lebih berbahaya sekiranya pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana ia memudahkan lagi usaha kumpulan ini menuntut kerajaan iktiraf perkahwinan sejenis.

''Saya difahamkan mereka telah pun mempunyai model untuk melaksanakan perkahwinan songsang ini. Apa yang mereka harapkan pakatan pembangkang menang pilihan raya ini agar impian mereka ini tercapai,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Baru-baru ini dalam satu ceramah di hadapan 5,000 penduduk Taman Medan, Azwanddin telah mendedahkan perkara yang serupa.

Azwanddin berkata, pihaknya tidak akan berdiam diri kerana apa yang berlaku itu jika dibiarkan akan merosakkan bangsa dan negara.

"Alhamdulillah kerajaan Barisan Nasional (BN) begitu komited membanteras budaya seks songsang termasuk perkahwinan songsang. Sebab apa, sebab budaya ini budaya yang bertentangan dengan fitrah manusia.

''Islam juga jelas mengharamkan perkahwinan sebegini. Saya juga percaya semua agama serta kepercayaan di dunia ini tidak pernah mengiktiraf perkahwinan sejenis,'' katanya lagi.

Sambil mengambil contoh rusuhan di Perancis, beliau berkata, majoriti rakyat negara itu tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan membenarkan perkahwinan sejenis.



''Jika itu juga yang berlaku di Malaysia, JMM merupakan NGO pertama bangkit menentang gejala yang jijik ini. Ingat, jangan sesekali kita mengundang bala Allah,'' katanya.

No comments:

Post a Comment