NAMA Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang sebelum ini kurang dikenali rakyat Malaysia, kini nampaknya lebih popular berbanding ahli-ahli politik tanah air.
Bergerak aktif sejak beberapa tahun lalu, Suaram juga telah membentuk jaringan dengan organisasi lain yang menggunakan nama hak asasi dan demokrasi. Ia bergerak melalui pemimpin yang mengetuai organisasi atau organisasi terbabit serta aktiviti yang dijalankan secara bersama.
Walaupun kononnya sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tetapi Suaram didapati tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) dan hanya didaftar sebagai syarikat Suara Inisiatif Sdn. Bhd. di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Lebih membimbangkan, syarikat swasta yang dikatakan tidak bermotifkan keuntungan itu mampu memperolehi pendapatan lebih RM900,000 dalam tempoh 2009 dan 2010 tanpa menjelaskan sumber dana tersebut.
Selepas menerima banyak tekanan, akhirnya Suaram mengakui menerima dana daripada penderma tertentu termasuk dari luar negara, antaranya disyaki daripada Open Society Institute (OSI) yang dipengerusikan penyangak mata wang, George Soros dan National Endowment for Democracy (NED) yang dipimpin tokoh Yahudi, Carl Gershman.
Perbincangan antara beberapa agensi kerajaan mencapai keputusan untuk menyiasat dengan lebih mendalam dan Suaram dikatakan bakal berdepan dengan tindakan undang-undang hasil siasatan SSM.
Namun, Jabatan Peguam Negara pula memaklumkan kertas siasatan SSM terhadap Suaram mengikut Akta Syarikat 1965 tidak lengkap dan memerlukan siasatan lanjut.
NGO haram itu bagaimanapun belum terlepas kerana beberapa agensi lain turut menjalankan siasatan tetapi Suaram dilaporkan telah berani menghalang dan membuat provokasi terhadap pegawai ROS yang mahu menjalankan siasatan di premis mereka.
Susulan kejadian itu, koordinatornya, R. Thevarajan pula membuat laporan polis kononnya terdapat campur tangan politik dalam proses siasatan terhadap Suaram.
Kronologi kes Suaram ini sebenarnya menimbulkan beberapa persoalan bagi rakyat biasa, sama ada penerimaan dana asing itu salah atau memberi impak negatif; sejauh mana jaringan organisasi haram yang mendukung aspirasi pihak luar di negara ini; dan kenapa pihak berkuasa lambat bertindak?
Jaringan Suaram jelas melibatkan parti politik mahupun NGO berdaftar serta tidak berdaftar seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tetapi adakah turut berkait dengan gerakan lain seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mahupun agenda subversif pihak tertentu?
Adakah Suaram sahaja NGO haram yang bergerak aktif dengan bantuan dana asing di negara ini dan kenapa SSM, ROS, Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Ngeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahupun mana-mana agensi penguat kuasa lain sehingga kini gagal bertindak?
Bagi Presiden Gerakan Reformasi Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar, pihak yang menerima dana asing umpama mengkhianati negara selepas hilang ketaatan kerana terpaksa menjadi 'balaci' kepada penyumbang itu.
"Sebenarnya tiada masalah untuk Suaram atau mana-mana NGO mendapatkan dana dari dalam negara dan sepatutnya menolak walau satu sen dana dari pihak luar kerana ada pihak asing yang mempunyai niat menghancurkan negara ini.
"Namun, kerana kebencian menebal dan tidak memperakui pemerintah yang dipilih majoriti rakyat, mereka terima sahaja dana dari mana sekalipun asalkan dapat capai sasaran menggulingkan kerajaan," katanya.
Beliau berpendapat, sumber kewangan dari luar sebenarnya amat bahaya kerana boleh membawa masuk anasir jahat dari negara lain dan menyebabkan perpecahan etnik apabila penerimaan banyak dana mampu menggerakkan agenda peribadi individu mahupun kumpulan tertentu melebihi agenda nasional.
Menurutnya lagi, jaringan Suaram dengan kepimpinan politik khususnya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sepatutnya membolehkan mereka menerima dana daripada kerajaan negeri yang ditawan pembangkang dan tidak perlu kepada dana asing.
Lebih membimbangkan beliau, dana yang disalurkan kepada NGO haram seperti Suaram dikongsi dengan sekutu-sekutunya yang lain yang memusuhi kerajaan bagi menggerakkan aktiviti 'bawah tanah'.
"Jika rangkaian mereka sudah luas dan kuat, merangkumi banyak gabungan lain serta parti politik, pasti sukar untuk dikawal lagi.
"Lihat sahaja lonjakan aktiviti membusukkan nama Malaysia di dalam dan luar negara tanpa rasa takut kerana undang-undang seperti tiada kuasa ke atas mereka ini," ujarnya.
Ramlan turut menempelak perbuatan Suaram menghalang penjawat awam menjalankan tugas menyiasat serta menjadikan alasan campur tangan politik bagi mengalih perhatian daripada isu sebenar dan mengelak tindakan undang-undang.
"Mereka ini tidak mahu perakui kerajaan yang dipilih rakyat, kerana itu asyik gunakan alasan campur tangan politik setiap kali pihak berkuasa bertindak.
"Kumpulan ini sudah berani sangat sejak Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, tambahan pula ramai dalam rangkaian mereka terdiri daripada peguam yang tahu selok-belok undang-undang dan pandai mengelak," tegasnya.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah pula bimbang penerimaan dana itu melibatkan agenda Israel yang mahu rakyat menggulingkan kerajaan secara paksa seperti di Asia Barat.
"Agenda Soros mahupun penaja asing lain sukar difahami tetapi saya yakin ini gerakan terancang seperti di Syria dan negara Arab lain.
"Kononnya atas dasar demokrasi dan hak asasi sedangkan kita telah lama amalkannya berbanding negara lain. Kenapa bantu NGO haram dan bukan pertubuhan lain yang terbukti membantu rakyat," soal beliau.
Beliau khuatir dana asing itu menjadi pemangkin kepada gerakan terancang dengan agenda memfitnah dan memburukkan kepimpinan di negara mahupun menjalankan aktiviti yang menggugat keharmonian rakyat seperti perhimpunan haram, demonstrasi jalanan serta program songsang melibatkan LGBT.
Menurutnya lagi, dana tajaan asing di Malaysia telah mencecah RM20 juta dan disalurkan melalui pelbagai bentuk khususnya syarikat-syarikat kecil dan kerana itu JMM tampil kerana mahu agensi-agensi terbabit memantau dengan serius demi menolak campur tangan asing.
Beliau berpendapat, organisasi haram seperti Suaram adalah tali barut kepada pengaruh asing yang cuba merosakkan negara ini dan harus ditangani dengan menyekat sumber kewangan dari luar ataupun yang berkaitan dengan anasir jahat lain.
"Kita tidak mempersoal mereka menerima sumbangan dana tetapi perlu diisytiharkan dan berlunaskan undang-undang di negara ini.
"Kerana itu saya menyeru Bank Negara dan LHDN memantau kemasukan wang dari luar kerana itu adalah baris utama kepada sumber dana dan aktiviti rangkaian yang bertujuan mengangkat agenda asing di negara ini," tegasnya.
Beliau berharap pihak berwajib melaksanakan akta yang boleh memantau kemasukan sebarang dana asing atau sekurang-kurangnya didedahkan kepada rakyat agar mereka dapat menilai sendiri.
"Perlu diingat juga, mereka yang di dalam pertubuhan yang menerima dana asing itu juga menerima elaun dan gaji, adakah semua itu sudah dibayar cukainya," katanya.
Azwanddin turut menyarankan Suaram amalkan apa yang diuar-uarkan selama ini kononnya mahu ketelusan dengan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan berterus-terang tentang program-program mereka.
"Kalau tuduhan tidak betul kenapa perlu takut? Mereka sudah mengaku menerima dana asing, kenapa kini tidak mahu jelaskan kepada pihak berkuasa pula?
"Ini menunjukkan mereka takut dan mahu sorokkan sesuatu dengan sentiasa cuba mengelirukan rakyat melalui taktik-taktik dan alasan kononnya ada campur tangan politik," ujar Azwanddin.
No comments:
Post a Comment