Wednesday, 26 September 2012

Tubuh agensi khas urus isu dana asing

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Kelewatan mengenakan tindakan terhadap Suaram membuktikan satu badan khas perlu ditubuhkan bagi mengurus dan menangani jenayah melibatkan dana asing.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, agensi khas yang patut diwujudkan segera itu dapat membantu negara membendung kegiatan jenayah berkaitan dana asing sebelum terlambat.

Katanya, badan khas dengan pengkhususan terhadap bidang tugas itu dapat mengatasi isu kelewatan menjalankan siasatan sekali gus membuktikan sistem perundangan negara sukar ditembusi.

“Kelewatan yang berlaku membuatkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan semakin pudar selain menjadikan negara sebagai lokasi mudah kepada penjenayah menjalankan kegiatan jenayah berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan berdiam diri serta kelewatan pihak berkuasa yang sepatutnya sudah mengenakan tindakan terhadap Suaram yang sudah berlanjutan sehingga kini.

Katanya, pelbagai desakan dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada pihak berkuasa termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) namun masih tiada tindakan drastik diambil.

“Agensi sedia ada dilihat tidak efektif, mereka hanya mengambil tindakan selepas menerima desakan bertali arus daripada NGO dan tindakan selepas itu juga tidak berterusan," katanya.

Tambahnya, kerajaan perlu membuktikan kepada rakyat serta dunia isu itu dapat ditangani sepenuhnya melalui semua aspek bagi membuktikan Malaysia mempunyai sistem keselamatan dan perundangan yang mantap.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan Majlis Peguam melihat isu itu secara serius memandangkan ia berpotensi memberi kesan terhadap generasi akan datang. 

Sementara itu, Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar berkata, kerajaan sepatutnya mengambil iktibar daripada kehancuran beberapa negara ekoran campur tangan kuasa asing.



Sehubungan itu katanya, tindakan segera perlu diambil bagi menghalang mana-mana pihak yang cuba membawa masuk pihak luar ke negara ini menerusi pelbagai saluran termasuk sumbangan dana.

No comments:

Post a Comment