KUALA LUMPUR 13 Okt. - Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah digesa meletakkan jawatan kerana gagal membezakan antara isu keselamatan negara dengan isu politik.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin menegaskan, sebagai seorang pemimpin yang memegang jawatan dalam Kabinet, Saifuddin sepatutnya boleh membezakan isu pertubuhan haram menerima dana asing untuk menjatuhkan kerajaan dengan isu politik.
Katanya, isu Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bukan soal politik tetapi perkara itu menyentuh tentang keselamatan serta kedaulatan negara.
"Suaram merupakan pertubuhan haram yang mengutip dana secara haram dan terbukti menerima dana daripada penyangak mata wang, George Soros.
"Saya terkejut kenyataan seperti itu dikeluarkan oleh anggota Kabinet yang jelas menunjukkan beliau tidak lagi layak menjadi timbalan menteri dan patut meletakkan jawatan," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pandangan Saifuddin dalam portal berita Malaysiakini baru-baru ini yang mendakwa serangan BN ke atas Soros, berpotensi 'memakan diri sendiri'.
Zulkifli menambah, dana yang diberikan kuasa asing kepada pertubuhan haram sudah pasti bukan bertujuan untuk memajukan negara tetapi bagi menghancurkan demokrasi sedia ada.
"Sekarang kita bercakap mengenai Suaram yang terbukti menerima dana asing untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada yang dipilih oleh rakyat," katanya.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah juga senada dengan Zulkifli dan kesal dengan Saifuddin yang cuba mempertahankan sebuah pertubuhan yang terbukti menerima dana dan menjadi tali barut kuasa asing.
"Kami (pertubuhan bukan kerajaan) bersungguh-sungguh menentang kemasukan dana asing yang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan, malangnya Saifuddin pula mempertahankan Suaram," katanya.
Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah pula menganggap Saifuddin seperti 'gunting dalam lipatan' apabila bertindak seolah-olah menyokong Suaram yang terbukti membuat pelbagai fitnah terhadap kerajaan.
"Jika perjuangan politik sudah tidak lagi selari dengan aspirasi kerajaan, adalah lebih baik letak jawatan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment