KUALA LUMPUR 4 Okt. - Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah hari ini mendakwa, sejumlah RM100 juta dana asing dipercayai telah dibawa masuk sepanjang operasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di negara ini.
Dakwanya, transaksi dana asing termasuk dalam bentuk tunai itu dikatakan dibawa secara berperingkat daripada berjumlah AS$1,000 (RM3,056.19) sehingga AS$5,000 (RM15,280.94) sejak 1998.
Beliau mendakwa, berdasarkan maklumat bekas anggota pertubuhan tidak berdaftar itu, dana tersebut dipercayai digunakan bagi membiayai kegiatan ceramah politik dan menggerakkan demonstrasi jalanan dengan motif memfitnah kerajaan serta beberapa pemimpin negara ini.
Dakwanya, wang berkenaan juga dipercayai digunakan sebagai habuan rasuah kepada pegawai dalam agensi kerajaan bagi kepentingan sekutu Suaram.
Kita dapat maklumat ini daripada bekas anggota Suaram.
Wang tersebut dipercayai dibawa masuk oleh pemimpin-pemimpin Suaram melalui negara jiran. Mereka tidak mahu wang berkenaan dimasukkan melalui transaksi bank.
Lebih merisaukan adalah wang ini dipercayai digunakan untuk merasuah beberapa kakitangan kerajaan bagi membuat keputusan yang memihak kepada kepentingan sekutu Suaram serta mendapatkan maklumat dan rahsia kerajaan dalam negara," dakwanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai pendedahan terbaru tindak tanduk Suaram di Ibu Pejabat JMM, Kota Damansara dekat sini.
Azwanddin berkata, nama kakitangan yang terlibat akan didedahkan oleh pihaknya dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Azwanddin turut mendakwa, Suara Inisiatif Sdn. Bhd. (Suara Inisiatif) bukan satu-satunya syarikat yang dikaitkan Suaram yang menerima dana daripada luar negara.
Dakwanya, selain Suara Inisiatif, terdapat sebuah lagi syarikat yang diguna pakai oleh Suaram iaitu difahamkan sebuah syarikat pemilik tunggal, Suaram Komunikasi.
Kami mendapat maklumat ini daripada bekas anggota Suaram bahawa Suaram Komunikasi adalah syarikat pemilik tunggal yang menerima dana asing. Malah kami juga mendapati National Endownment For Democracy (NED) yang menyalurkan dana kepada Suaram Komunikasi," katanya.
No comments:
Post a Comment