KUALA LUMPUR 16 Okt. - Enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel yang ingin membawa masuk dua peguam asing bagi memberi taklimat kepada ahli Parlimen mengenai isu pembelian kapal selam Scorpene.
Enam NGO terbabit ialah Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Jaringan Melayu Muda Malaysia (JMM), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Lembaga Kesedaran Pencegah Jenayah serta Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna.
Presiden KWMM, Dzulkarnain Taib berkata, perbuatan membawa orang asing mencampuri urusan dalaman negara bakal mengancam keselamatan negara.
Suaram menunjukkan sikap angkuh kerana terus berusaha membawa dua peguam Perancis, William Bourdon dan Joseph Breham mencampuri urusan dalaman negara walaupun laporan polis sudah dibuat terhadap tiga pemimpin pembangkang berhubung perkara yang sama pada 5 Oktober lalu.
Rakyat tidak harus membiarkan pihak luar mencampuri urusan negara kerana ia akan mengancam keselamatan," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.
Menurut Dzulkarnain, Cynthia menyatakan hasratnya itu melalui satu kenyataan yang disiarkan di Harakah Online yang menyebut bahawa Suaram tetap akan membawa masuk dua peguam berkenaan ke Malaysia dalam masa terdekat.
Sementara itu, Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata, pihaknya akan berusaha menghalang tindakan Suaram tersebut dan pendedahan mengenai penglibatan pegawai kerajaan menjual maklumat dalam kes itu akan dilakukan dalam waktu terdekat.
Saya mempunyai bukti terdapat pegawai kerajaan menerima sogokan Suaram untuk dedah rahsia kerajaan. JMM akan dedahkan dalam tempoh terdekat," ujarnya