Monday 3 September 2012

BNM didesak siasat Suaram

Oleh ASSIM HASSAN
assim.hassan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Bank Negara Malaysia (BNM) didesak menyiasat aliran dana masuk dan keluar Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengikut Akta Anti Pengubahan Wang Haram dan Anti Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Peguam, Datuk Mohd. Hafarizam Harun berkata, pengakuan Suaram menerima dana asing dari Amerika Syarikat, Kanada dan Finland tetapi tidak menyatakan siapa dan jumlahnya boleh menimbulkan syak wasangka.

"Penerimaan itu boleh dianggap sebagai pengubahan wang haram dan BNM harus menjalankan siasatan mengikut AMLATFA.

"Bank Negara perlu bertindak menyiasat dan mengambil tindakan segera ke atas Suaram," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan seperti Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mempertikaikan pihak yang bertanggungjawab dalam isu membabitkan Suaram jika ia dikatakan bukan terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Tambah Mohd. Hafarizam, isu membabitkan aliran masuk dan keluar wang Suaram adalah bidang kuasa BNM selaku bank pengawal aliran keluar masuk.

Pada masa sama, beliau berkata, penerimaan dana asing itu boleh menimbulkan satu ancaman kepada negara kerana Suaram dilihat lebih vokal mengkritik mengenai isu politik.

"Ini boleh dianggap sebagai satu ancaman kerana wang tersebut bukan digunakan untuk perpaduan rakyat, sebaliknya mencernakan aspirasi pembangkang dan mengancam kestabilan politik negara.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan Suaram digunakan oleh badan asing untuk mengganggu-gugat keharmonian, keselamatan dan juga keluhuran undang-undang Malaysia," katanya.

Sementara itu, Presiden Badan Bertindak Anti Penyelewengan Kedah, Khairul Anuar Ramli pula menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan dan menyiasat Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Mohd. Naim Daruwish.

Katanya, tindakan Mohd. Naim yang seolah-olah takut mengambil tindakan ke atas Suaram perlu disiasat oleh PDRM dan SPRM.

"Kita gesa polis dan SPRM segera menjalankan siasatan terhadap Mohd. Naim," katanya.

No comments:

Post a Comment