Saturday 8 September 2012

Kes Suaram dibawa ke mahkamah

KUANTAN 8 Sept. - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengenal pasti lima kes yang boleh diambil tindakan terhadap syarikat Suara Inisiatif Sdn. Bhd. (Suara Inisiatif) kerana mempunyai kaitan dengan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di bawah Akta Syarikat 1965.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, satu daripada lima kes berkenaan akan dibawa ke mahkamah selewat-lewatnya dua minggu lagi.

"Setelah SSM menjalankan siasatan dengan teliti, ada lima kes yang mungkin diambil tindakan terhadap mereka, namun buat masa ini, satu kes akan di bawa ke mahkamah dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.

"Yang ini saya nampak amat jelas kesalahan yang dilakukan Suara Inisiatif. Namun, kes selebihnya masih dalam siasatan dan mungkin juga akan diambil tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen UMNO Pekan, di sini hari ini.

Sebelum ini, SSM dikritik beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana didakwa gagal bertindak terhadap Suaram yang mengaku menerima dana dari negara asing dan individu dari seluruh negara.

Menurut Ismail Sabri, tindakan yang diambil SSM bukan kerana desakan politik tetapi berdasarkan kesalahan yang dilakukan Suara Inisiatif di bawah Akta Syarikat 1965.

"Saya percaya ramai yang menganggap tindakan ini disebabkan politik, tetapi semua itu tidak betul, kita ambil tindakan sebab kesalahan yang dilakukan," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan SSM lambat bertindak berhubung isu itu, Ismail Sabri menafikannya dan mendakwa, siasatan dilakukan sebaik sahaja perkara tersebut didedahkan Jaringan Melayu Malaysia (JMM).



"Sebelum mengambil tindakan terutamanya melibatkan perundangan, kita kena pastikan sama ada kesalahan itu benar-benar melanggar undang-undang atau tidak," katanya.

No comments:

Post a Comment