Friday 14 September 2012

TIBAI lapor polis berhubung isu dana asing Suaram

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Kumpulan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai), hari ini membuat laporan rasmi kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung dakwaan dana asing berjumlah ratusan ribu ringgit yang diterima Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Suaram menimbulkan isu apabila dikaitkan secara langsung dengan Suara Inisiatif Sdn Bhd (SISB), yang menerima sumbangan dana daripada pihak asing.

Mursyidul Am Tibai, Zahid Md Arip berkata laporan itu dibuat agar fail siasatan berhubung Suaram dan SISB segera dibuka dan penyiasatan lanjut dilakukan.

"Kita mahu LHDN menyiasat apakah mereka (Suaram dan SISB) mengisytiharkan pendapatan mereka dan kemasukan dana asing ini kepada LHDN, dan adakah mereka membayar cukai atas pendapatan yang mereka terima dari dana asing selama ini," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan laporan itu di Pejabat LHDN, Kompleks Kerajaan, Jalan Duta di sini.

Beliau membuat laporan itu kira-kira pukul 10.45 pagi diiringi oleh dua presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (Ombak), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad, dan Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah.

Zahid berkata laporan rasmi itu turut meminta LHDN menyemak sama ada (Suaram dan SISB) telah membuat pengisytiharan pendapatan mereka.

"Jika mereka pernah membuat laporan pengisytiharan, kita minta LHDN menyemak dan mengkaji semula pengisytiharan tersebut secara terperinci kerana bimbang mereka mengemukakan pengisytiharan palsu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment